Khamis, 5 Februari 2009

Ulasan Blogger Pilihan tentang Pergolakan di Perak....

DEMIKIANLAH adanya, hidup ini berbanding-bading (abadan abada) dan berlawanan. Suka lawan duka, kalah lawan menang, wujud lawannya hilang. Setiap bermula akan berakhir juga. Allah s.a.w. juga Maha Adil dan Maha Bijaksana. Sesuatu yang dijadikan itu ada hikmah dan ada tujuannya tersendiri.

Dan hujun yang kini turun rintik-rintik yang disulamkan dengan bunyi guruh juga dihantar olenNya, mungkin sebagai simpati atas apa yang berlaku.

Pergolakan politik di Perak – usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat telah pun berakhir. Segala usaha oleh Pakatan untuk mempertahankan kerajaanya berusia 11 bulan sia-sia sahaja.

Keadaan, kuasa dan pengadil tidak memihak kepada mereka. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memihak kepada mereka. Surut pengosongan dua Adun tidak dilayan sewajarnya. Istana juga telah memberi keadilan yang perlu diterima sebagai bijaksana.

Jadi semuanya sudah selesai dan berakhir. Yang ada kini hanya kesalan dan air mata sahaja di pihak Pakatan Rakyat. Kesal dengan apa yang berlaku harus diterima ia adalah kesilapan diri kita semua. Dan air mata yang berladum adalah banjir duka kerana musibah itu menimpa Pakatan.

Sekarang ini jangan ungkit jangan lagi persenda. Jangan kata apa-apa. Mahkota kerajaan yang dipegang itu kini akan bersalin tangan dan biarlah BN meletakkan di atas kepala mereka.

Pihak Pakatan rakyat, termasuk Mohamad Nizar Jamaluddin atau sesiapa harus memujuk diri sendiri. Bayangkan bagaimana kecewa, kesal dan marahnya Tajol Mohd Rosli Ghazali selepas 3 Mac tahun lalu apabila kerajaannya runtuh dan beliau terlepas menjadi MB Perak, maka beitulah apa yang ada kini. Namun bagaimana Tajol Rosli dapat menerima hakikat itu maka begitulah juga harus diterima oleh Nizar dan pihak Pakatan.

Hormatilah apa yang telah diputus meskipun hati sakit dan remuk radam. Tunjukkan kita berjiwa besar dan sedia menerima hakikat. Marilah pula sama-sama kita lihat bagaimana BN membentuk kerajaanya dan mentadbir Perak.

Selama sebelas bulan Pakatan memerintah macam-macam dakwaan dan tuduhan dilemparkan ke atas kerajaan Pakatan. Semoga segala kecacatan dan kepincangan itu diperbetulkan oleh kerajaan BN selepas. Adun Pakatan boleh menjadi pemantau kepada apa yang berlaku selepas ini.

Apa yang perlu Pakatan lakukan kini ialah memperkuatkan semangat perpaduan di kalangan mereka. Susun semula dan perbetulan apa yang pincang. Kesemua 28 Adun Pakatan jadilah wakil rakyat yang profesional dalam DUN Perak. Menjadi pembangkang yang berkualiti, membela rakyat dan menjadi penegur kerajaan baru yang konstruktif.

Adalah lebih baik kalau Pakatan memperkemaskan barisan, menyusun agenda dan memantapkan hubungan untuk merampas balik bukan dalam sehari dua ini. Tindakan begitu bukan bijak, tetapi pacaklah semangat baru untuk merampas dan berkuasa balik dalam pilihan ke-13 kelak.

Gunakanlah masa tiga tahun setengah akan datang itu untuk membina semangat juang yang jitu dan sebagai bekalan untuk menghadapi pilihan raya ke-13 kelak. Sekali lagi dijelaskan usah kecewa dan bersedih dengan apa yang berlaku. Peristiwa hari ini dan akan datang adalah pengalaman yang akan mendewaskan semua orang.

Kepada mereka yang menggenapkan korum untuk membolehkan BN menubuhkan kerajaan negeri berbanggalah dengan apa yang saudara dan saudari lakukan. Percayalah nama saudara akan tercatat dalam buku sejarah sebagai Adun yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat.

Syabas kerana saudara berjaya meletakkan nama saudara dimercu itu. Apakah nama saudara harum dan kuburan saudara wangi atau busuk, itu soal lain sebab dalam politik sekular tidak ada dosa dan pahala yang diperhitungkan. Kerana mereka yang tahu dosa pahala dari awal lagi tidak akan melangkahkan kaki ke dalam gelanggang politik sedemikian.

http://www.msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan