Khamis, 15 Oktober 2009

'Guru Besar paling muda' di dunia yang berusia 16 tahun

BERJUTA-JUTA kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapat pendidikan sewajarnya kerana keluarga mereka terlalu miskin.

Di India, seorang budak sekolah cuba mengubah nasib kanak-kanak miskin.

Budak itu ialah Babar Ali, "guru besar" sekolah yang baru berusia 16 tahun dan boleh dikatakan "guru besar termuda" di dunia.

Babar Ali ialah remaja yang bertanggungjawab mengajar ratusan pelajar di kawasan belakang rumah keluarganya.

Cerita remaja berasal dari Murshidabad di barat Bengal ini mencerminkan keinginannya yang meluap-luap untuk mendidik para pelajar.

Setiap hari, Babar Ali akan bangun pada awal pagi untuk membuat kerja-kerja rumah.

Kemudian dia akan menaiki beca sejauh 10 kilometer (km) untuk pergi ke Sekolah Raj Govinda dan terpaksa berjalan kaki untuk beberapa km terakhir.

Sekolah Raj Govinda adalah sekolah kendalian kerajaan yang terbaik di barat Bengal dan terdapat ratusan pelajar lelaki dan perempuan.

Kelas-kelas di sekolah ini tersusun walaupun kurang kemudahan awam. Pun begitu, ianya tetap dilengkapi kerusi meja, papan hitam dan guru-gurunya adalah komited dan berkelayakan.

Ketika kedatangan para pelajar yang lain, Babar Ali akan duduk di tengah-tengah barisan hadapan.

Babar Ali ialah seorang pelajar yang tinggi, remaja yang kurus, rajin belajar dan segak berpakaian seragam rona biru dan putih.

Beliau rajin mengambil nota-nota pelajaran dan merupakan pelajar contoh. Dia juga ahli keluarga pertama yang mendapat pendidikan sempurna.

Babar sangat beruntung kerana pada waktu itu, mereka belajar secara percuma. Bagaimanapun, Babar Ali hanya perlu membayar baju seragamnya, buku-bukunya dan menaiki beca untuk pergi ke sekolah.

Namun keluarganya tetap perlu mengeluarkan kira-kira 1,800 rupees setahun untuk perbelanjaan sekolah.

Jumlah wang tersebut adalah besar ketika itu. Kebanyakan keluarga miskin yang lain tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, walaupun pelajaran adalah percuma. Bagaimanapun, Babar Ali nekad untuk membantu rakan-rakannya yang miskin di kampungnya. Sejurus habis kelas, Babar Ali tidak akan bermain seperti rakan-rakan yang lain tetapi terus bergegas pulang untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekampungnya.

Babar Ali akan membunyikan loceng apabila sampai di rumahnya. Rakan-rakannya berpusu-pusu datang untuk menunggu "kelas" Babar.

Babar Ali dan kanak-kanak itu akan menyanyi lagu kebangsaan sebelum pelajaran bermula.

Dengan gaya berdiri di atas satu pentas, Babar Ali mengajar 'pelajar-pelajar'nya tentang disiplin sebelum pembelajaran bermula.

Babar Ali mengajar mereka sebagaimana dia mendengarnya daripada guru-gurunya. Sesetengah kanak-kanak duduk di atas lumpur serta bangku yang usang dan agak goyah.

Babar Ali baru berusia sembilan tahun apabila dia mula "mengajar" beberapa kawannya secara suka-suka. Kawan-kawan pula gemar mengikuti "kelasnya".

Sekarang "sekolah" itu mempunyai 800 pelajar. Semuanya berasal dari keluarga miskin. Kebanyakan datang belajar selepas bekerja atau bercucuk tanam di padang.

Pihak berkuasa tempatan mengiktiraf "sekolah" itu kerana ia meningkatkan kadar celik huruf di kampung itu. Babar Ali telah memenangi pelbagai anugerah kerana jasanya berkongsi ilmu.

link

Tiada ulasan:

Catat Ulasan