Jumaat, 4 September 2009

Satu Agama, Satu Rumpun..Satu Ramadhan.

Ramadhan semakin meninggalkan kita dengan penuh persoalan yang hanya mampu dijawab oleh diri kita sendiri... Madrasah Ramadhan yg Allah sediakan agar kita masing2 berusaha untuk memperbaiki diri demi menjadi hambanya yg bertaqwa; nampaknya masih belum mampu kita optimumkan... Ramadhan yg mengajar persaudaraan Islam, saling peduli dan menghargai terhadap sesama muslim masih belum berjaya kita hayati dengan sepenuhnya...

Aku bukan nak berceramah di sini.. cuma aku ingin menzahirkan perasaan sedikit terkilan aku dengan perkembangan dan isu mengenai hubungan dingin Malaysia dan Indonesia. Aku terkilan kerana batas sempadan dan geografi berjaya memisahkan hubungan akidah dan persaudaraan kita sesama muslim! Indahnya Islam kerana ianya merentasi bangsa, suku mahupun warna kulit. Indahnya Islam kerana persaudaraannya merentasi geografi dan sempadan! Indahnya Islam kerana kita diikat dengan hubungan akidah yg satu iaitu mengtauhidkan Allah swt walau di manapun kita berada...

Bukan tujuan aku utk mencari siapa yg salah; siapa yg benar... apa lagi utk menjawab segala isu2 yg timbul; kerana bagi aku isu yg sebenar dan paling utama adalah isu persaudaraan sesama Islam yg terbukti masih gagal dihayati oleh kita semua... Tidak perlu kita membuang masa utk berhujah sana sini mempertahankan pendirian masing2 kerana ianya bukanlah sesuatu hal yg besar dan berbaloi utk kita hujahkan! Banyak lagi batu-batu besar yg perlu kita fikirkan sebagai mahasiswa utk di utamakan.

Walaubagaimanapun, aku sangat bersetuju dengan cadangan PKPMI jakarta utk membuat pertemuan dengan wakil2 BEM (Persatuan Mahasiswa Universitas) di uni seluruh jakarta. Aku harap ianya akan menghasilkan sesuatu yg dapat bermanfaat utk semua. Cuma apa yg aku harapkan kita sedar dan dapat memahami isu yg paling utama di sini. Sebagai mahasiswa, memang tugas kita untuk memperbanyakkan diskusi dan dialog mengenai apa sahaja perkara yg dibangkitkan. Aku agak terkilan sekiranya kita sebagai mahasiswa pun terperangkap dgn persepsi dan sentimen yg dimainkan oleh media.. Kita perlu berbuat sebagai seorang mahasiswa! bukan sebagai aktivis mahupun politisi... Tak perlu kita memainkan sentimen dan membangkitkan persepsi anti Indonesia pula di kalangan mahasiswa Malaysia di sini. Malah sepatutnya kitalah yg memainkan peranan utama utk membetulkan persepsi dan pandangan masyarakat Indonesia terhadap negara kita.

Selama lebih empat tahun aku tinggal di jakarta ini... pelbagai ragam dan jenis orang yang aku jumpa. Aku akui yang masyarakat Indonesia sangat pelbagai dan hakikat yang perlu kita sedari adalah jangan terlalu memandang rendah dan meremehkan kemampuan mereka. Persepsi kebanyakan rakyat Malaysia terhadap masyarakat di sini tidak boleh di buat berdasarkan TKI (Tenaga Kerja Indonesia) yg bekerja di negara kita sahaja. Masyarakat Indonesia sangat besar dan pelbagai... kita tidak boleh membuat kesimpulan dengan satu atau dua peristiwa sahaja. Namun, aku akui yang kadang2 emosi mereka agak 'fragile' dan mudah dibangkitkan, terutamanya oleh media. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka 100%, kerana bagi aku adalah wajar jika mereka sedemikian kerana pelbagai cabaran yg perlu mereka hadapi utk meneruskan kehidupan. Masyarakat di Jakarta sudah cukup utk mengambarkan realiti ini... dari yang sangat miskin sehinggalah yang sangat kaya, semuanya ada di jakarta.

Begitu juga hal nya kepada rakyat Indonesia, persepsi yang rakyat malaysia sombong dan jahat perlu diperbetulkan jika hanya berdasarkan kasus2 yg diceritakan di media2. Sekali lagi, agak malang jika kita terperangkap dengan sentimen dan persepsi yg mungkin kadang2 kita sendiri pun tidak jelas dan terikut2. Buat sahabat2 mahasiswa Malaysia di Indonesia, kita punya peran dan tanggungjawab yg besar utk menjernihkan kekusutan yg timbul. Bukan maksud aku utk kita turun menerangkan kepada semua segala isu dan masalah yg dibangkitkan; malah ada ketikanya kita hanya perlu diam dari terperangkap dengan emosi dan sentimen yg di mainkan... Cuma bagi aku sudah cukup jika kita bina dan tunjukan persaudaraan seislam dan serumpun dengan masyarakat tempatan.. Imarahkan masjid, bersilraturahmi dan bertegur sapa dengan mereka... Jaga pertuturan dan akhlak kita dengan bapak2 RW, RT, Pak Imam, Pak siak, ibu kontrakan, Bapak kos dan dll.. Ambillah peluang Ramadhan ini utk kita terus membina ukhuwah dan persaudaraan tersebut. InsyaAllah, aku yakin hanya dengan akidah dan agama sahaja yg dapat menyatukan kita semua... Moga Allah mengampuni kita dan menuntun kita agar menjadi hambanya yg bertaqwa.. amin.

1 ulasan:

  1. Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta hari ini menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin
    memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini.

    Jabatan itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menasihati semua pelajar Malaysia di Jakarta khasnya, agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

    Kebencian mereka itu memuncak kepada tahap yang serius dan menakutkan, berikutan media tempatan baru-baru ini menyiarkan berita dan visual lebih 360 sukarelawan ilmu kebal yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.

    Kebencian mereka itu memuncak lagi apabila hari ini terdapat sekumpulan orang yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro.

    Dilaporkan bahawa 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya) memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.

    Tindakan mereka mengambil undang-undang di tangan sendiri dilaporkan media massa online tempatan termasuk detikcom.

    Sebelum ini pernah rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.

    Berikutan isu itu yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

    Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah "mencuri" tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu "jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta".

    Anehnya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.

    Laman web okezone pula melaporkan bahawa anggota BENDERA ada memeriksa lebih daripada 100 orang.

    Bagaimanapun, detikcom melaporkan tiada seorang pun rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dikatakan akan dilakukan selama sejam, berakhir hanya selepas setengah jam.

    -Bernama

    BalasPadam